Sunday 17 November 2013

CERITA HANTU PENANGGAL DI DALAM KOMUNITI MELAYU SARAWAK


Bila kita memperkatakan kepercayaan kepada kewujudan hantu lebih-lebih lagi di kala arus kemodenan yang melanda tempat kita sudah semestinya ramai yang mengatakan ini adalah syirik dan pelbagai lagi tohmahan yang akan dilemparkan. Namun jika kita berbalik kepada semasa ibu bapa kita dibesarkan dahulu, kewujudan hantu itu tidak dapat disangkal kerana ada sesetengahnya telah berhadapan secara empat mata dengan benda itu sehingga memungkinkan masyarakat kita dahulu kala mempercayainya. Namun begitu, yang pasti banyak ceritera hantu yang berlaku di sekeliling masyarakat yang ada banyak terdorong oleh betapa kuatnya kepercayaan kepada ilmu-ilmu hitam menjadi sebahagian daripada unsur-unsur kehidupan suatu waktu dahulu. Untuk artikel kali ini, Borneo Oracle cuba berkongsi tentang alkisahnya sebuah cerita hantu yang dikenali sebagai hantu penanggal yang pernah menjadi penghias cerita masyarakat melayu Sarawak suatu ketika dahulu.

Sebenarnya ada banyak terma bagaimana masyarakat memanggil hantu penanggal ni termasuklah hantu balan-balan bagi masyarakat di Sabah, hantu tengelong bagi masyarakat melayu di utara semenanjung dan manakala di Sarawak mahupun di Brunei Darussalam lebih dipanggil hantu penanggal atau tengkalan. Itulah terma-terma yang digunakan bagi menggelar hantu ini tetapi walau apapun panggilannya asal kejadian hantu penanggal ini adalah dari satu cerita yang sama iaitu kesemuanya adalah untuk tujuan ilmu hitam. Diceritakan bahawa hantu ini sebenarnya berasal dari seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam. Mereka yang dikatakan menuntut ilmu ni mampu memisahkan dirinya dari badan dan kepala mereka sehingga mampu terbang dengan membawa sekali tali perut yang terburai. Dikatakan bahawa darah yang menitik dan sekiranya terkena pada sesiapa maka akan terjadilah kudis yang berpanjangan kerana darah itu dikatakan mempunyai bisa.


Mereka yang mengamalkan ilmu ini juga dipercayai menyimpan cuka bagi tujuan memeram urat perut agar kecut sebelum di cantumkan kembali ke badan. Di cerita juga bahawa sekiranya ada orang yang terserempak dengan tubuh hantu ni kemudian di terbalikkan, hantu ini akan bercantum secara terbalik juga dengan kepalanya. Dengan itu rahsia hantu ni akan terbongkar maka akan musnahlah segala ilmu hitam yang diamalkannya kelak. Ada banyak versi sebenarnya bagaimana untuk mengjahanamkan mereka yang mengamalkan ilmu hitam ini dan salah satu daripadanya adalah sekiranya terjumpa tubuhnya yang tanpa kepala maka hendaklah lekas-lekas ditutup badannya dengan kain batik secara terbalik dan nescaya apabila kepalanya cuba untuk mencari badannya kembali sudah tentu tidak dijumpai dan cukup sehingga paras matahari tegak di kepala maka akan matilah pengamal ilmu hitam ini.

Suatu waktu dahulu di bahagian Sibu, pernah gah dengan cerita hantu penanggal yang bermaharajalela di dalam sebuah kampung melayu. Hantu penanggal ini sebenarnya adalah jenis hantu yang gemar menghisap darah wanita yang baru lepas bersalin dan sekiranya darah wanita yang selepas bersalin ini dihisap nescaya wanita itu akan mati kerana akibat tumpah darah yang banyak sangat. Maka itulah yang terjadi di sebuah kampung di Sibu sewaktu dahulu sehingga memungkinkan seluruh penduduk telah bersatu hati menjaga siang dan malam kerana musibah yang berlaku. Dan pada waktu inilah rata-rata masyarakat melayu kampung tersebut telah mula menanam disekeliling rumah mereka dengan tanam-tanaman yang berduri. Hantu penanggal dikatakan takut untuk menghampiri rumah sebegini kerana dia sendiri risau takut akan tali perutnya yang terburai tersangkut pada duri-duri itu nanti. Bagi yang mempunyai anak atau isteri yang sedang mengandung akan mula menggantung daun kering mengkuang yang terkenal dengan durinya bersebelahan dengan tempat anak isteri sedang tidur. Ini semua dilakukan bagi memberikan keselamatan yang tetap kepada mereka yang tersayang kerana hantu penanggal ini mampu masuk ke rumah walau hanya dengan sebesar lubang kecil yang ada di dinding rumah. Inilah kekuasaaan ilmu iblis yang seharusnya tidak diamalkan oleh manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras.

Hendak dijadikan ceritera setelah 2 mangsa ibu yang tidak berdosa menjadi korban akhirnya manusia yang empunya angkara telah berjaya juga ditangkap. Hakikatnya dikatakan bahawa wanita kampung yang terpaksa menerima saka hantu penanggal ini diwarisinya daripada ibunya dan sekiranya ianya tidak mewarisinya maka ianya akan lebih teruk sekali. Demi menjaga keharmonian di dalam kampung itu maka orang tua-tua di kampung tersebut telah sebulat suara untuk mengusir wanita dan keluarganya keluar daripada kampung tersebut dan sejak itu tiadalah lagi igauan ngeri ibu-ibu mengandung yang takut akan tumpah darah berlaku lagi di kampung tersebut. Ini hanyalah sebuah cerita yang diceritakan secara lisan oleh seorang tua tempatan yang pernah mengalaminya suatu waktu dahulu di kampung kelahirannya di Sibu. Ianya mungkin ada yang benar dan mungkin juga ada yang tidak termasuk dek akal kita sekarang namun begitu kita sememangnya tidak harus menidakkan bahawa fenomena hantu penanggal ini PERNAH WUJUD SUATU KETIKA DAHULU DI SARAWAK.

Walau apapun artikel Borneo Oracle untuk kali ini bukanlah untuk memesongkan akidah keimanan yang ada kepada kita sebagai manusia kerana walau apapun kepercayaannya kita harus percaya pada yang Satu, iatu Allah S.W.T. Tiada kuasa yang mampu menandingi kuasa Allah jadi mohonlah perlindungan dari Nya agar di jauhi dari gangguan-gangguan syaitan, jin dan iblis. Seperti biasa tujuan artikel adalah untuk perkongsian kita bersama dan kami sentiasa ingin mendengar cerita daripada pembaca-pembaca Borneo Oracle sekalian kerana kami percaya sudah tentu ada daerah-daerah di Sarawak yang mempunyai cerita yang berbeza-beza yang wajar untuk kita kongsi bersama.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Recent Posts

ping busuk

Pingje

HarryD Blog © 2013. All Rights Reserved | Back To Top